Kemaskini Pada: 22 Feb 2018
Versi 8.0.3
SejarahSejarah


SEJARAH SRI AMAN


"Sri Aman" Nama baru Simanggang Bandar, Daerah dan Bahagian Sri Aman dahulunya dikenali sebagai "Simanggang". Nama "Sri Aman" diambil sempena peristiwa bersejarah Deklarasi Sri Aman (satu perjanjian keamanan yang ditandatangani pada 21 Oktober 1973 di antara Kerajaan dan penganas komunis). Sebagai memperingati peristiwa ini, rumah rehat Kerajaan "Rumah Simanggang" tempat di mana deklarasi ditandatangani dinamakan semula "Rumah Sri Aman" pada 19hb Mac 1974. Daerah dan bahagian Simanggang kemudiannya turut dinamakan "Sri Aman". Penukaran nama ini dikuatkuasakan melalui SWK.L.N.42/80 of Part 11 of Sarawak Government Gazette di bawah tajuk Simanggang (Change of Name) Order 1980.

Picture


Lokasi

Daerah Sri Aman terletak dalam Bahagian Sri Aman iaitu di Selatan Negeri Sarawak. Mengikut persempadanan baru pada tahun 2002, ia meliputi keseluruhan lembah Sungai Batang Lupar yang memanjang dari Lingga ke Hulu Skrang dan anak-anak sungainya kecuali Batang Ai. Sungai Batang Ai terletak di Daerah Lubok Antu. Persempadanan baru ini telah dibuat setelah sebahagian kawasan Daerah Sri Aman iaitu Daerah Kecil Maludam telah diserah pentadbiran kepada Bahagian Betong.


Persempadanan Daerah

Daerah Sri Aman berkongsi sempadan di sepanjang Banjaran Kelingkang, di bahagian selatan, dengan Kalimantan Indonesia; dan bersempadan dengan Daerah Lubok Antu di bahagian tenggara; Bahagaian Betong di sebelah timur laut. Pesisirannya di utara bersempadan dengan Laut China Selatan dan di barat dengan Daerah Simunjan, Bahagian Samarahan. 


Penubuhan Pejabat Daerah Sri Aman

Pentadbiran Daerah di Simanggang, dikenali sebagai Sri Aman hari ini, mungkin telah diperkenalkan seawal tahun 1846 sebaik sahaja Wilayah Lupar diserahkan kepada James Brooke. Apabila James Brooke mengambil alih Wilayah Lupar, kekacauan dan kehuru-haraan masih wujud. Ini memaksa kerajaannya membina satu kubu yang diberi nama Fort James di Nanga Skrang dalam tahun 1849. Kubu James di Skrang ini merupakan yang pertama dan permulaan wujudnya Pejabat Daerah yang menyediakan keperluan pasarana yang sangat diperlukan oleh pentadbiran daerah ini. Pos kerajaan di Nanga Skrang hanya untuk tempoh sekejap sahaja dan kemudiannya ditinggalkan selepas sahaja Kubu Alice dibina di Simanggang. Pembinaan dan siapnya Kubu Alice dalam tahun 1864 merupakan asas kepada pentadbiran kerajaan hari ini bagi kedua-dua Bahagian dan Daerah Sri Aman.

Selama bertahun-tahun Pejabat Residen dan Pejabat Daerah ditempatkan di Kubu Alice - Pejabat Residen ditingkat atas dan Pejabat Daerah di bawah. Dengan selesainya pembinaan Kompleks 4 tingkat, Pejabat Negeri di Jalan Abang Aing pada awal tahun 1970, Pejabat Residen mengosongkan Kubu Alice dan berpindah ke tingkat dua dan tiga kompleks yang baru siap dibina. Pejabat Daerah masih di Kubu Alice sehinggalah berpindah dalam tahun 1973 untuk menduduki keseluruhan tingkat bawah bangunan baru. Namun dengan selesainya pembinaan Pejabat Residen yang baru di Jalan Astana pada tahun 1995, Pejabat Daerah diminta mengambil ruang pejabat yang akan dikosongkan oleh Pejabat Residen di Kompleks Pejabat Negeri di Jalan Abang Aing. Dengan itu, sekali lagi Pejabat Daerah berpindah dari pejabat lama ke tingkat dua dan tiga bangunan yang diduduki sekarang pada bulan Disember tahun 1995.